Polis menutup sebuah masjid di timur Paris dan menahan pemilik pistol dalam satu serbuan pada Rabu sebagai sebahagian daripada tindakan tegas pihak berkuasa selepas serangan pada 13 November lalu di ibu negara Perancis itu.

Menurut Menteri Dalam Negeri Bernard Cazeneuve, pihak berkuasa tempatan pada minggu lalu telah mengambil langkah menutup operasi dua buah masjid.

Ini adalah tindakan kali pertama Perancis terhadap tempat ibadat yang disyaki memupuk ajaran 'Islam radikal'.

Dalam serbuan di Lagny-sur-Marne, pegawai keselamatan turut menemui beberapa dokumen jihad.

Penahanan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan yang direman adalah sembilan dan polis turut melarang 22 lagi individu meninggalkan negara tersebut.

Perancis setakat ini telah menyerbu 2,235 rumah dan bangunan, mengambil keterangan 232 orang dan merampas 334 senjata.

"Dalam 15 hari kita telah merampas satu per tiga daripada kuantiti senjata gred perang yang biasanya dirampas dalam setahun," kata Cazeneuve.

Dua masjid yang ditutup minggu lalu adalah di Gennevilliers, barat laut Paris, dan di Lyon.